Kisah Penghijrahan Nabi Ibrahim AS ke Negeri Syam, Kemasukannya ke Negeri Mesir dan Penetapannya di Tanah Suci
Allah SWT berfirman: "Maka Lut beriman kepadanya (Ibrahim). Ibrahim berkata, 'Sesungguhnya aku akan berhijrah kepada Tuhanku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.' Dan Kami kurniakan kepadanya Ishak dan Yaakub, dan Kami jadikan pada keturunannya kenabian dan kitab, serta Kami berikan kepadanya pahalanya di dunia, dan sesungguhnya dia di akhirat termasuk golongan orang-orang yang soleh." (Surah al-Ankabut: 26-27)
Allah SWT berfirman lagi: "Dan Kami selamatkan dia (Ibrahim) dan Lut ke negeri yang Kami berkati untuk sekalian alam. Dan Kami kurniakan kepadanya Ishak dan Yaakub sebagai tambahan kurnia. Dan masing-masing mereka Kami jadikan orang-orang yang soleh. Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka supaya mengerjakan kebaikan, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan mereka hanyalah kepada Kami sahaja menyembah." (Surah al-Anbiya': 71-73)
Tatkala Nabi Ibrahim AS meninggalkan kaumnya kerana Allah, dan berhijrah dari kalangan mereka, sedangkan isterinya seorang yang mandul tidak melahirkan anak, dan belum ada baginya seorang anak pun, melainkan bersamanya anak saudaranya iaitu Lut bin Haran bin Azar, maka Allah SWT mengurniakan kepadanya selepas itu anak-anak yang soleh, dan menjadikan pada keturunannya kenabian dan kitab. Maka setiap nabi yang diutus selepasnya adalah dari keturunannya, dan setiap kitab yang diturunkan dari langit kepada seorang nabi dari kalangan para nabi selepasnya, adalah kepada salah seorang dari keturunan dan zuriatnya, sebagai anugerah dari Allah dan kemuliaan baginya, ketika dia meninggalkan negerinya, keluarganya dan sanak saudaranya, lalu berhijrah ke sebuah negeri di mana dia dapat beribadah kepada Tuhannya Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung, serta menyeru makhluk kepada-Nya.
Adapun negeri yang ditujunya dengan penghijrahan itu ialah negeri Syam, iaitu negeri yang Allah SWT firmankan: "...ke negeri yang Kami berkati untuk sekalian alam."
Demikian kata Ubay bin Kaab, Abu al-Aliyah, Qatadah dan selain mereka.
Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas mengenai firman-Nya: "...ke negeri yang Kami berkati untuk sekalian alam," iaitu Makkah. Tidakkah engkau mendengar firman-Nya: "Sesungguhnya rumah (ibadah) yang mula-mula dibina untuk manusia ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Makkah), yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi sekalian alam." Manakala Kaab al-Ahbar mendakwa bahawa negeri itu ialah Harran.
Nota Kaki: • (1) Surah al-Ankabut: 26-27 • (2) Surah al-Anbiya': 71-73 • (3) (أ): daripada ibadah Allah