Penawaran kepada Kabilah-Kabilah
Apabila Rasulullah ﷺ mendapati bahawa baginda tidak memperoleh sambutan daripada Quraisy dalam menunaikan risalah kerana kesombongan dan keangkuhan yang menguasai hati mereka, Allah berkehendak untuk menzahirkan urusan agama ini melalui tangan kaum Arab yang lain selain Quraisy. Maka, baginda ﷺ keluar pada musim-musim Arab (iaitu pasar-pasar (1) yang biasa diadakan oleh bangsa Arab untuk berniaga dan bermegah-megah) dan menawarkan diri kepada kabilah-kabilah agar mereka melindungi baginda sehingga dapat menunaikan risalah Tuhannya. Sebahagian daripada mereka memberikan penolakan secara baik, manakala yang lain memberikan penolakan yang buruk. Antara kabilah yang paling buruk penolakannya ialah Bani Hanifah, kaum Musailamah al-Kazzab. Bani Amir pula meminta agar mereka diberi urusan kepimpinan selepas baginda jika mereka beriman kepadanya. Rasulullah ﷺ menjawab, "Urusan itu terserah kepada Allah, Dia meletakkannya di mana sahaja yang Dia kehendaki."
Antara orang Arab yang menunaikan haji ke Baitullah ialah penduduk Arab Yathrib, sebuah bandar antara Makkah dan Syam yang didiami oleh dua kabilah: satu daripada keturunan Aus dan satu lagi daripada keturunan Khazraj, dan kedua-duanya adalah saudara. Namun, antara anak-anak keturunan mereka terdapat permusuhan yang menyebabkan peperangan tidak pernah reda di antara dua pihak. Mereka sentiasa dalam perpecahan dan pertikaian. Di Madinah, mereka berjiran dengan kaum Yahudi, iaitu Bani Qainuqa', Bani Quraizah, dan Bani Nadir. Kaum Yahudi pada mulanya mempunyai kekuasaan ke atas Yathrib, lalu kaum Arab memerangi mereka sehingga kaum Arab menjadi pihak yang mempunyai pengaruh dan kekuatan di sana. Apabila kaum Yahudi mengalami kekalahan, mereka akan memohon kemenangan ke atas musuh-musuh mereka dengan menyebut nama seorang nabi yang akan diutus yang telah dekat masanya. Apabila kalimah (perpaduan) kaum Arab berpecah-belah sesama mereka dan tongkat persatuan terbelah, mereka bersekutu dengan kaum Yahudi: Bani Aus bersekutu dengan Bani Quraizah, manakala Bani Khazraj bersekutu dengan Bani Nadir dan Bani Qainuqa'. Hari terakhir peperangan antara mereka ialah Hari Bu'ath yang menyebabkan kebanyakan ketua-ketua mereka terbunuh, dan tidak tinggal melainkan Abdullah bin Ubai bin Salul dari Khazraj dan Abu Amir ar-Rahib dari Aus. Oleh sebab itu, Aisyah RA berkata, "Hari Bu'ath adalah hari yang Allah dahulukan untuk Rasulullah ﷺ." Terlintas di fikiran ketua-ketua Bani Aus untuk bersekutu dengan Quraisy menentang Khazraj, lalu mereka mengutus Iyas bin Mu'az dan Abu al-Haisar Anas bin Rafi' bersama sekumpulan orang untuk mendapatkan persekutuan itu dengan Quraisy. Apabila mereka sampai di Makkah, Rasulullah ﷺ datang kepada mereka dan bertanya, "Adakah kalian mahu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian datang untuknya? Iaitu supaya kalian beriman kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan sesungguhnya aku telah diutus."
(1) Tiga pasar yang paling masyhur ialah: 'Ukaz, Majannah, dan Dhul Majaz.